Monday, 10 May 2021

updated 2:30 PM UTC, May 10, 2021

Al-Quran tidak dapat kelulusan KDN: perlu tampil buat laporan.

  • Published in Berita Semasa

KUALA LUMPUR - Umat Islam disaran agar proaktif dan tampil membuat laporan sekiranya mengesan penjualan naskhah al-Quran yang tidak mendapat kelulusan Kementerian Dalam Negeri, sama ada yang dicetak atau dijual secara dalam talian.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kementerian akan melakukan penguatkuasaan secara berterusan untuk memastikan al-Quran yang tidak mendapat kelulusan KDN tidak dijual dalam pasaran tempatan.

Tegasnya, umat Islam perlu lebih berhati-hati kerana al-Quran yang tidak diluluskan tidak boleh diguna pakai berikutan cara pembacaan dan percetakannya adalah berbeza dengan al-Quran resam Uthmani yang dipakai negara.

Menurutnya KDN hanya meluluskan Al-Quran al-Karim resam Uthmani yang mempunyai cop khas dalam Jawi dengan warna biru tertera perkataan Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran memperakui bahawa ayat-ayat Al-Quran yang terkandung dalam teks ini adalah betul, selain memasukkan ciri baharu iaitu kod QR dan hologram.

Baru-baru ini, sejumlah 178 unit Al-Quran dirampas Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Negeri Kedah, Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sebuah premis di Sungai Petani.

Sementara lebih lima ribu unit al-Quran yang tidak diluluskan di kawasan Zon Bebas Pelabuhan Utara Klang, dirampas Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PKK) KDN Selangor, ia dipercayai dibawa masuk dari Indonesia untuk pasaran tempatan dan dijual secara dalam talian.