Tuesday, June 2, 2020

updated 10:45 AM UTC, Jun 2, 2020

17 Pelajar Perempuan Maut Kebakaran Asrama Sekolah Di Thailand

Bangkok - Tujuh belas pelajar perempuan maut selepas asrama sekolah mereka musnah dalam kebakaran di Wiengpapao, wilayah Chiangrai, utara Thailand lewat Ahad malam, menurut polis tempatan.

Pegawai penyiasat Balai polis Wiengpapao Kapten Khajornsak Pongtit berkata lima lagi pelajar perempuan mengalami kecederaan serius dalam kebakaran di asrama Sekolah Pitakkiatwittaya yang berlaku pada 11 malam (tengah malam di Malaysia).

"Punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya kepada Bernama apabila dihubungi di sini Isnin.

Pihak pentadbiran sekolah mengumumkan penutupan sekolah itu dari Isnin hingga Jumaat berikutan kejadian itu yang turut memusnahkan beberapa peralatan lain.

Media tempatan melaporkan sekolah swasta itu yang menyediakan kemudahan asrama untuk kanak-kanak berusia daripada tiga hingga 13 tahun, dimiliki oleh yayasan tempatan.

Sekolah itu turut menempatkan kanak-kanak miskin dari kawasan pedalaman dan menyediakan kemudahan asrama kepada pelajar yang memerlukan.

  • Ditulis oleh BeritaRTM
  • Kategori: Berita Dunia
  • Jumlah paparan: 255