Sunday, 26 June 2022

Thailand ambil pendekatan tidak berpihak dalam konflik Rusia-Ukraine

BANGKOK, 11 Mac - Thailand mengambil pendekatan tidak berpihak kepada Rusia atau Ukraine dalam isu konflik antara kedua-dua negara itu demi menjaga kepentingan negara dan rakyatnya.

Jurucakap kerajaan Thailand Thanakorn Wangboonkongchana berkata Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha telah mengemukakan dasar mengenai krisis Rusia-Ukraine sejak awal konflik demi keseimbangan di peringkat antarabangsa.

Beliau mengulangi pendirian asas Thailand adalah untuk memindahkan warganegaranya di Ukraine dan hal itu berjaya dilaksanakan.

FOTO GOOGLE

“Pendirian Thailand sentiasa menyokong dialog, bukan keganasan, mencari penyelesaian secara aman berdasarkan prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau menerusi mekanisme yang dipersetujui bersama,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebagai anggota ASEAN, Thanakorn berkata Thailand juga menegaskan pendiriannya menerusi “Kenyataan Menteri Luar ASEAN mengenai situasi di Ukraine dan menyeru semua pihak berkaitan supaya melaksanakan pencegahan maksimum dan berusaha sedaya upaya meneruskan dialog melalui pelbagai saluran.

Beliau menambah Thailand percaya bahawa penyelesaian konflik boleh dicapai melalui cara aman.

“Dengan cabaran pandemik COVID-19, Thailand tidak mahu melihat sebarang konflik dan ketegangan antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Thailand, Tanee Sangrat berkata Thailand menyokong usaha kemanusiaan di Ukraine dengan memberikan sumbangan kemanusiaan untuk Palang Merah Ukraine.

Atas permintaan Kedutaan Ukraine di Thailand, Kementerian Luar meluluskan bajet sebanyak 2 juta baht untuk membeli bekalan, katanya.

“Kedutaan Diraja Thailand di Ukraine akan menguruskan pemerolehan dan penyerahan bekalan,” katanya.-BERNAMA

  • Written by Media Baharu
  • Category: Berita Dunia
  • Hits: 252