Wednesday, 1 February 2023

 

Suhu beku Afghanistan ragut lebih 100 nyawa

  • Published in Berita Dunia

KABUL, 26 Januari- Lebih 100 orang maut akibat gelombang suhu beku yang melanda Afghanistan.

Cuaca ekstrem memburukkan lagi krisis kemanusiaan di negara yang berdepan kemiskinan itu.

Sejak 10 Januari, suhu turun mendadak di Kabul dan beberapa wilayah lain dengan wilayah Ghor merekodkan bacaan suhu terendah -33 darjah celsius pada hujung minggu.

Ketua Pejabat Meteorologi Afghanistan, Mohammad Nasim Muradi berkata musim sejuk ini adalah yang paling sejuk untuk beberapa tahun.

Gelombang sejuk berkenaan dijangka berterusan selama seminggu atau lebih.

"Cuaca terlalu sejuk, kami berdepan kesejukan melampau. Ramai mengalami kesukaran. Tiada air dan gas, orang ramai cuba bertahan dengan situasi ini," kata Najemullah, seorang penduduk kepada AFP.

"Cuaca sejuk ini mendatangkan pelbagai kerumitan. Kami tiada arang, tiada dapur dan anak-anak tiada baju panas untuk digunakan," tambah Bibi Gul meluahkan kesusahan yang dihadapinya kepada media.


(FOTO AFP)

Beberapa wilayah tengah dan utara menyaksikan jalan utama dilitupi salji tebal.

Menurut NGO, lebih 38 juta individu berdepan kebuluran musim sejuk ini, dengan lebih empat juta kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan.-AFP