Wednesday, 1 February 2023

 

Lebih 5 bilion penduduk dunia terdedah kepada bahaya lemak trans -WHO

  • Published in Berita Dunia

(FOTO HIASAN/AFP)

GENEVA, 25 Januari- Lima bilion orang terdedah kepada risiko tinggi penyakit jantung disebabkan pengambilan lemak trans.

Kebimbangan dan amaran itu dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyelar dan meminta negara-negara yang tidak mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani isu tersebut supaya bertindak membendung lemak toksik itu.

Pada 2018, WHO telah mengeluarkan saranan agar asid lemak yang dihasilkan dalam industri pembuatan makanan dihapuskan di seluruh dunia menjelang 2023 berdasarkan kajian menunjukkan ia menyebabkan 500,000 kematian pramatang setiap tahun.

Menurut agensi kesihatan PBB, walaupun 43 negara dengan gabungan populasi 2.8 bilion orang kini telah melaksanakan dasar amalan terbaik, lima bilion lagi penduduk dunia kekal tidak dilindungi,

Menurut Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, Mesir, Australia dan Korea Selatan adalah antara negara yang tidak menggubal dasar sedemikian dan mempunyai kadar penyakit jantung yang sangat tinggi daripada lemak trans.

"Minyak pejal yang menyumbat arteri di sekeliling jantung sering digunakan dalam makanan berbungkus, makanan bakar, minyak masak dan sapuan seperti marjerin.

"Lemak trans ialah bahan kimia toksik yang membunuh, dan tidak sepatutnya mempunyai tempat dalam makanan.

"Sudah tiba masanya untuk menyingkirkannya sama sekali untuk semua," katanya.

Beliau menambah bahan itu membawa risiko penyakit yang bakal membabitkan kos tinggi untuk sistem kesihatan


(Lemak trans biasanya terdapat dalam makanan berbungkus, dibakar, minyak masak
dan sapuan seperti marjerin/AFP)

“Secara ringkasnya, lemak trans ialah bahan kimia toksik yang membunuh dan tidak sepatutnya mempunyai tempat dalam makanan manusia. Sudah tiba masanya untuk menyingkirkannya sama sekali dan untuk semua,” jelas Tedros.

Berdasarkan data WHO, sembilan daripada 16 negara pada masa ini dengan anggaran kadar tertinggi kematian penyakit jantung koronari yang disebabkan oleh pengambilan lemak trans, didapati tidak mempunyai dasar amalan terbaik.

Negara-negara tersebut ialah Australia, Azerbaijan, Bhutan, Ecuador, Mesir, Iran, Nepal, Pakistan dan Korea Selatan.

Sementara itu, Pengarah Pemakanan Keselamatan Makanan WHO, Francesco Branca, turut menyeru negara-negara tersebut untuk mengambil tindakan segera.

Enam puluh negara kini mempunyai dasar penghapusan lemak trans, meliputi 3.4 bilion orang atau 43 peratus daripada populasi dunia.

Daripada negara tersebut, 43 sedang melaksanakan piawaian amalan terbaik, sebahagian besarnya di Eropah dan Amerika.

Walau bagaimanapun, piawaian tersebut masih belum diterima pakai oleh mana-mana negara berpendapatan rendah.

"Terdapat beberapa wilayah di dunia yang tidak percaya masalah itu ada," kata Branca-AFP