Wednesday, 8 February 2023

 

Vaksin percubaan Ebola tiba di Uganda

  • Published in Berita Dunia

(Seorang pekerja kesihatan Uganda bersiap sedia untuk memberikan vaksin ebola kepada
seorang lelaki di kampung Kirembo, daerah Kasese, Uganda, 16 Jun 2019/REUTERS)

KAMPALA, 8 Disember- Uganda menerima penghantaran pertama vaksin percubaan bagi sejenis strain Ebola yang telah meragut berpuluh-puluh nyawa.

Sejak pihak berkuasa mengisytiharkan penularan wabak Ebola pada 20 September, negara Afrika Timur itu telah mencatat 142 kes jangkitan yang disahkan dan 56 kematian.

Penularan itu membabitkan strain Sudan, yang pada masa ini tiada vaksin.

Tetapi tiga prospek vaksin akan diuji di Uganda pada minggu-minggu akan datang.

Satu dibangunkan oleh Universiti Oxford dan Institut Jenner di Britain, satu lagi daripada Institut Vaksin Sabin di Amerika Syarikat, dan satu lagi daripada Inisiatif Vaksin AIDS Antarabangsa (IAVI).

"Kami sangat teruja hari ini Uganda telah menerima 1,200 dos salah satu prospek vaksin calon bagi virus Ebola Sudan," kata Menteri Kesihatan Uganda, Jane Ruth Aceng kepada AFP selepas pesawat yang membawa penghantaran itu mendarat di lapangan terbang Entebbe.

Jurucakap kementerian, Emmanuel Ainebyoona berkata penghantaran pertama ini mengandungi dos daripada Institut Vaksin Sabin.

Ia akan digunakan dalam vaksinasi percubaan, dengan semua kenalan pesakit Ebola yang disahkan dan kontak kepada kontak rapat diberi suntikan bersama-sama petugas kesihatan dan barisan hadapan.

Bulan lalu, pihak berkuasa Uganda berkata bahawa jumlah kes baharu semakin menurun dan pesakit terakhir disahkan menghidap penyakit itu dibenarkan keluar dari hospital pada 30 November. -AFP


(Suasana Pusat Kesihatan Kitebi 3 di bahagian Lubaga di Kampala, Uganda/REUTERS)