Wednesday, 8 February 2023

 

WHO rayu pembiayaan atasi malaria digandakan

  • Published in Berita Dunia

(Bangunan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Geneva, Switzerland/REUTERS)

GENEVA, 8 Disember- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) merayu lebih banyak dana bagi membantu mengatasi cabaran besar menentang malaria, yang terus membunuh ratusan ribu kanak-kanak terutamanya di Afrika setiap tahun.

Dalam laporan terbaharu, agensi kesihatan PBB itu memaklumkan bahawa kes dan kematian malaria kekal stabil tetapi pada tahap yang sangat tinggi tahun lalu.

Ia juga mengetengahkan cabaran yang masih ketara, termasuk pembiayaan penderma yang terhad, potensi kesan perubahan iklim, dan mutasi dalam parasit yang menyebabkan malaria lebih tahan terhadap rawatan.

WHO memberi amaran bahawa dunia pada kini berada "di luar landasan" untuk mencapai matlamatnya mengurangkan kes malaria dan kematian sebanyak 90% menjelang 2030, dan menegaskan bahawa pembiayaan harus lebih daripada dua kali ganda.

"Kami menghadapi banyak cabaran, tetapi terdapat banyak sebab untuk berharap," kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam satu kenyataan.

"Dengan mengukuhkan tindak balas, memahami dan mengurangkan risiko, membina daya tahan dan mempercepat penyelidikan, terdapat banyak sebab untuk mengimpikan masa depan yang bebas malaria," katanya.

Jumlah kes kematian malaria global meningkat 10% semasa tahun pertama penularan COVID-19 pada 2020 kepada 625,000, kata laporan itu.

Tahun lepas, angkanya menurun sedikit kepada 619,000.

Jumlah kes jangkitan pula terus meningkat kepada 247 juta daripada 245 juta pada 2020. -AFP


(WHO rayu pembiayaan atasi malaria digandakan)