Wednesday, 8 February 2023

 

COP15: Sidang Kemuncak Biodiversiti PBB buka tirai di Montreal

  • Published in Berita Dunia

(Foto hiasan)

MONTREAL, 8 Disember- Kira-kira 17,000 perwakilan dari 196 negara termasuk Malaysia berhimpun di sini untuk menghadiri mesyuarat ke-15 Persidangan Biodiversiti Pihak-pihak (COP15) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mencapai persetujuan global dalam melindungi alam sekitar.

Persidangan antarabangsa selama dua minggu yang bermula pada 7 Dis itu akan menyaksikan negara-negara terlibat berusaha untuk menyepakati satu set peraturan utama baharu untuk memulihkan kehilangan biodiversiti dalam Rangka Kerja Biodiversiti Global (GBF) Pasca-2020.

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres berkata persidangan penting itu menumpukan kepada masa depan hubungan manusia dengan alam semula jadi – sistem sokongan kehidupan manusia.

"Perjuangan manusia terhadap alam semula jadi pada akhirnya adalah perjuangan terhadap diri kita sendiri. Kerana itu, saya menyeru satu pakatan damai mengenai alam semula jadi - GBF pasca-2020 yang dilihat mempunyai matlamat yang jelas dan menyasarkan untuk menangani punca kemusnahan ini.


(Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres/AFP)

"Sudah tiba masanya untuk dunia menerima pakai rangka kerja biodiversiti iaitu berdamai dengan alam semulajadi untuk memastikan masa depan hijau dan sihat untuk semua," kata beliau pada majlis perasmian COP15 di Pusat Konvensyen Montréal pada Selasa.

GBF Pasca-2020 menetapkan 22 sasaran untuk dicapai menjelang 2030 dalam usaha untuk menghentikan kemerosotan ekosistem serta memulakan pemulihan habitat dan spesies.

Sasarannya termasuk pemuliharaan, penggunaan mampan dan perkongsian manfaat serta menangani pemacu subsidi dan kewangan untuk kehilangan biodiversiti, mengukuhkan peranan Orang Asli, komuniti tempatan, belia dan wanita serta pihak berkepentingan lain.

GBF Pasca-2020 bakal menjadi rangka kerja global pertama mengenai biodiversiti yang diterima pakai sejak Sasaran Aichi pada 2010 yang dihasilkan di Nagoya, Jepun.

Malaysia menghantar 20 delegasi ke COP15 - diketuai Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim – akan mengambil bahagian dalam rundingan dan acara sampingan di Sidang Kemuncak itu.- BERNAMA