Wednesday, 1 February 2023

 

Inflasi di Laos meningkat kepada 38.46 peratus pada November

  • Published in Berita Dunia

(FOTO BERNAMA)

VIENTIANE, 5 Disember- Inflasi di Laos meningkat kepada 38.46 peratus tahun ke tahun pada November daripada 36.75 peratus pada Oktober, menurut laporan dikeluarkan Biro Perangkaan Laos pada Isnin.

Harga bahan api dan barangan pengguna yang lebih tinggi serta penyusutan nilai mata wang Lao yang berterusan adalah antara faktor utama yang mendorong inflasi, lapor Xinhua.

Kenaikan harga minyak memberi kesan kepada indeks harga pengangkutan, mendorong kenaikan harga barangan yang bergantung kepada bahan api untuk pengeluaran atau pengangkutannya.

Menurut laporan itu, kos dalam kategori komunikasi dan pengangkutan meningkat 55.4 peratus tahun ke tahun pada November.


(Pengimport-pengimport petroleum mendapati semakin sukar memenuhi permintaan
yang terus meningkat berikutan nilai mata wang kip semakin lemah
disebabkan peningkatan inflasi dan ketidaktentuan dalam industri minyak
global, namun kerajaan Laos menafikan  negara itu berdepan krisis petrol/FOTO FAIL AFP)

 Harga makanan dan minuman bukan alkohol melonjak 42.3 peratus. Kos kategori hotel dan restoran meningkat 30.9 peratus.

Selain itu, kos kategori perumahan melonjak 30.41 peratus manakala kos rawatan perubatan dan ubat-ubatan meningkat 42 peratus.

Kenaikan harga merentasi semua jenis produk menyukarkan orang awam, terutama mereka yang bergaji rendah. -BERNAM