Wednesday, 1 February 2023

 

AS salur bantuan kecemasan untuk infrastruktur tenaga Ukraine

  • Published in Berita Dunia

BUCAREST, 29 November - Setiausaha Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken tiba di Romania pada Isnin menjelang pertemuan dengan sekutu NATO dan menteri luar dari kumpulan tujuh ekonomi maju (G7).

"Blinken pada Selasa akan mengumumkan bantuan baharu untuk membantu memulihkan keupayaan penghantaran kuasa Ukraine dalam menghadapi serangan Rusia yang menyasarkan grid tenaga negara itu," kata seorang pegawai kanan Jabatan Negara.

(Penasihat Presiden Romania, Iulian Fota (kiri) menyambut ketibaan Setiausaha
Negara AS, Antony Blinken di lapangan terbang Henri Coanda, di Bucarest / FOTO AFP)

Washington juga telah menggalakkan negara lain untuk melakukan perkara yang sama supaya Kiev dapat mengelak penutupan yang menyebabkan berjuta-juta orang duduk di dalam gelap tanpa pemanasan ketika suhu berada diparas bawah sifar.

Menteri Luar Ukraine memaklumkan beberapa diplomat NATO yang melawat Kiev bahawa transformer adalah elemen terbesar infrastruktur kuasa negara yang perlu dipulihkan.

Washington akan bekerjasama dengan utiliti dan pembekal perkakasan AS dan juga negara Eropah untuk mencari peralatan yang boleh membantu memulihkan stesen penghantaran voltan tinggi yang rosak akibat serangan peluru berpandu Rusia.

"Blinken akan menggunakan mesyuarat kumpulan penyelarasan tenaga baharu yang merangkumi G7 dan negara-negara lain untuk melancarkan beberapa perkara yang dapat digerakkan oleh Amerika Syarikat dan rancangan kami untuk membawa peralatan itu ke Ukraine secepat mungkin dalam beberapa minggu akan datang," kata pegawai itu.-AFP