Wednesday, 8 February 2023

 

Krisis politik Pakistan: Imran Khan batal perarakan besar-besaran

  • Published in Berita Dunia

(Imran Khan memberi isyarat ketika dia menaiki kenderaan
mengetuai perarakan protes di Islamabad pada Mei lalu/FOTO REUTERS)

PAKISTAN, 29 November - Bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan membatalkan perarakan ke ibu negara Islamabad berikutan bimbang akan berlaku rusuhan ganas.

Sejak digulingkan pada April lalu, Imran Khan mengadakan perhimpunan besar-besaran di seluruh negara untuk memberi tekanan kepada kerajaan mengadakan pilihan raya awal.

Perarakan itu dijangka memburukkan lagi kemelut politik di negara yang mempunyai senjata nuklear itu yang ketika ini berdepan dengan krisis ekonomi.

(Bekas Perdana Menteri Pakistan Imran Khan mengetuai perarakan untuk menekan
kerajaan mengumumkan pilihan raya baharu pada Oktober lalu/FOTO REUTERS)

Imran Khan membuat rayuan kepada penyokongnya bahawa, kekacauan tidak seharusnya menjadi kepentingan Pakistan memandangkan negara itu berdepan krisis ekonomi.

Pada Sabtu lalu, Khan memberitahu orang ramai bahawa masih ada ancaman keselamatan terhadap nyawanya.

Khan awal bulan ini ditembak apabila konvoi protes antikerajaannya yang menuju ke Islamabad diserang di timur negara itu.

Imran Khan turut mengumumkan wakil rakyat partinya, Parti Tehreek-e-Insaf (PTI) akan meletak jawatan daripada Dewan Undangan Negeri, sebagai usaha terbaharu untuk mendesak kerajaan mengadakan pilihan raya awal. - REUTERS