Thursday, 8 December 2022

Cuba sasar pelancongan luar bandar untuk tingkatkan ekonomi

  • Published in Berita Dunia

(FOTO FB TOUR IN HAVANA.CUBA TOURISM,EXCURSIONS AND TOURS)

HAVANA, 27 September- Cuba mempertaruhkan pelancongan luar bandar bagi membantu meningkatkan ekonomi di tengah-tengah peningkatan sekatan AS terhadap negara Caribbean itu.

Untuk merasai kehidupan luar bandar di Cuba, pelancong boleh melawat projek Ladang Pantai di perkampungan nelayan Santa Fe di pinggir ibu kota Cuba, Havana.

"Pelawat suka berinteraksi dengan komuniti tempatan," kata pelukis Yoanka Esteves, yang menerajui inisiatif itu. "Kami menunjukkan kehidupan sebenar sebuah keluarga Cuba."

Syurga pantai seluas setengah hektar itu dibangunkan apabila Esteves dan keluarganya memutuskan untuk meninggalkan daerah Playa di Havana dan menetap di tepi laut.

"Mereka menganggap saya gila kerana keputusan saya untuk meninggalkan kesibukan dan hiruk pikuk kehidupan bandar," Esteves dipetik sebagai berkata, lapor Xinhua.

Ladang yang menjadi kediaman Esteves dan keluarganya itu menggabungkan pengeluaran makanan, pelancongan dan seni, dan pada masa yang sama menjana peluang pekerjaan di kawasan kejiranan yang kurang terdapat kemudahan dan perkhidmatan.

Hartanah itu mempunyai organoponik (sistem pertanian bandar), kawasan akuakultur, kabin mesra alam, dua restoran Cuba, bengkel arca dan taman orkid.

Dibuka pada 2020, projek pembangunan tempatan itu kini menggaji kira-kira 50 orang masyarakat tempatan, termasuk Henry Sosa, 45, yang menyuarakan keyakinan bahawa inisiatif itu dan seumpamanya boleh memacu pelancongan.

"Penglibatan orang ramai dalam aktiviti berbeza adalah antara penjana pendapatan utama projek itu," kata Sosa.

(FOTO FB TOUR IN HAVANA.CUBA TOURISM,EXCURSIONS AND TOURS)

Pada masa ini, ladang itu melaksanakan program tanaman anggur laut dan hutan bakau bagi membantu mengurangkan kesan perubahan iklim di sepanjang pantai Havana.

Raul Naranjo, pengarah agensi ekopelancongan Cuba Ecotur, berkata pelancongan alam semula jadi semakin mendapat perhatian dalam kalangan pengusaha dan ejen pelancongan yang mengendalikan lawatan ke negara Caribbean itu.

"Pelancongan pasca pandemik di seluruh dunia, terutama di Caribbean, terjejas akibat impak COVID-19 dan perubahan iklim," kata Naranjo. "Senario baharu ini mendorong kami untuk mencari jalan dalam menghadapi cabaran global."

Kerajaan Cuba mengunjurkan pertumbuhan ekonomi empat peratus pada 2022 dan menjangkakan  ketibaan hampir 2.5 juta pelancong asing.

-- BERNAMA