Thursday, 8 December 2022

Jepun langsungkan pengebumian negara Abe walau undang kontroversi

  • Published in Berita Dunia

(Akie Abe iaitu balu bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe,menyerahkan kotak abu kepada Fumio Kishida
ketika upacara pengebumian negara di Nippon Budokan di Tokyo, Jepun/AFP)


TOKYO, 27 September- Pembesar Jepun dan pemimpin asing memberi penghormatan terakhir kepada bekas perdana menteri yang dibunuh, Shinzo Abe pada majlis pengebumian negara pada Selasa.

Pengebumian negara sebagai menghormati Shinzo Abe, yang dibunuh pada Julai semasa kempen pilihan raya itu menyaksikan rakyat negara itu daripada pelbagai lapisan berkabung dan memberi penghormatan tearkhir terhadap negarawan itu.

Namun dalam masa sama, ia turut mencetuskan bantahan di sekitar tempat acara itu yang berlangsung di taman berhampiran Dewan Nippon Budokan di Tokyo, dengan lebih 700 pembesar asing dan penduduk tempatan memberi penghormatan terakhir kepada bekas pemimpin Parti Demokratik Liberal,  yang terkenal kerana menstabilkan arena politik Jepun.

Perdana Menteri Fumio Kishida menyifatkan bekas pemimpin itu sebagai "orang yang berani" dalam satu pujian, menyenaraikan pencapaiannya, termasuk usaha untuk mengukuhkan hubungan diplomatik Jepun.

"Saya rasa kesedihan yang menyayat hati," kata Kishida sambil menghadap gambar Abe yang digantung di atas struktur bunga besar yang digunakan untuk memaparkan abunya, pingat dan bendera Jepun.

Upacara itu bermula sekitar 2.13 petang waktu tempatan (0513GMT) selepas abu jenazah Abe yang dibakar, tiba di lokasi dan diserahkan kepada Perdana Menteri Fumio Kishida oleh balu perdana menteri Akie Abe.

Kotak berisi abu Abe dibawa oleh Akie ke Nippon Budokan di mana tabik hormat dan 19 laras tembakan dibunyikan sebagai penghormatan kepada ahli politik yang terbunuh.

Abe ialah Perdana Menteri Jepun yang paling lama berkhidmat dan salah seorang tokoh politik, terkenal kerana memupuk pakatan antarabangsa dan strategi ekonomi "Abenomics".

Mendiang meletak jawatan pada 2020 kerana masalah kesihatan yang berulang, tetapi kekal sebagai suara politik utama dan sedang berkempen untuk parti pemerintahnya apabila seorang lelaki bersenjata membunuhnya dengan senjata buatan sendiri pada 8 Julai.

Insiden tembakan itu ternyata menggemparkan dunia dengan reputasi jepun sebagai negara yang mencatat kes rendah bagi jenayah berkaitan serangan tembakan dan senjata api.

Tetapi keputusan untuk memberinya pengebumian negera, yang kedua untuk bekas perdana menteri dalam tempoh selepas perang mencetuskan tentangan, dengan kira-kira 60 peratus rakyat Jepun menentang acara itu dalam tinjauan pendapat baru-baru ini.

(Fumio Kishida dalam upacara menghadap gambar Abe yang digantung di atas struktur
bunga besar yang digunakan untuk memaparkan abunya, pingat dan bendera Jepun/AFP)


Ia adalah kali pertama dalam tempoh 55 tahun Jepun memberi penghormatan kepada mana-mana pemimpinnya dengan upacara pengebumian negara.

Pengebumian negara hanya dikhaskan untuk ahli keluarga diraja Jepun.

Sejak Perang Dunia II, hanya seorang ahli politik diberi penghormatan itu pada 1967. Beliau ialah Yoshida Shigeru yang berkhidmat dengan Jepun sebagai perdana menteri selama tujuh tahun, dalam dua penggal, dari 1946 hingga 1954.  Beliau terlibat dalam rundingan mengenai penamatan pendudukan AS dan Jepun mendapatkan semula kemerdekaan.

21 September lalu, dilaporkan seorang lelaki membakar dirinya berhampiran pejabat Perdana Menteri Jepun pada hari Rabu selepas menyatakan protes terhadap pengebumian negara Shinzo Abe, yang dibunuh. -AFP

Berita berkaitan 
Shinzo Abe dikhuatiri maut selepas ditembak ketika berucap
Jepun belanja RM54 juta bagi pengebumian Shinzo Abe September ini
Lelaki bakar diri bantah pengebumian negara Shinzo Abe
Mengenang negarawan hebat Shinzo Abe - Dari kaca mata bekas diplomat