Sunday, 2 October 2022

Kematian akibat Ebola di Uganda meningkat kepada empat

  • Published in Berita Dunia

(FOTO REUTERS)

KAMPALA, 23 September- Angka kematian akibat virus Ebola di Uganda meningkat kepada empat.

"Tiga kematian baharu direkodkan. Jumlah kes yang disahkan pula berjumlah 11 selepas empat lagi jangkitan disahkan dalam tempoh 24 jam yang lalu," menurut kenyataan Kementerian Kesihatan.

Namun tidak jelas sama ada 11 kes itu termasuk empat kematian.

"Pasukan Tindak Balas Pantas Kementerian Kesihatan kekal di lapangan untuk menyenaraikan dan membuat susulan kontak rapat kes yang disahkan positif," tambah kenyataan itu.

Selasa lepas, pihak berkuasa mengisytiharkan wabak di daerah tengah Mubende selepas mengumumkan kematian seorang lelaki berusia 24 tahun.

(Penularan Ebola adalah melalui cecair badan, dengan simptom utama ialah demam, muntah,
pendarahan dan cirit-birit/AFP)

Uganda, yang berkongsi sempadan dengan Republik Demokratik Congo (DRC), telah mengalami beberapa wabak Ebola, termasuk pada 2019 apabila sekurang-kurangnya lima orang meninggal dunia.

DRC bulan lalu merekodkan kes baharu di bahagian timur yang bergolak, kurang enam minggu selepas wabak di barat laut negara itu diisytiharkan berakhir.

Ebola ialah virus demam berdarah yang sering membawa maut. Kadar kematian biasanya tinggi, sehingga 90%, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). -AFP