Wednesday, 28 September 2022

Menteri Luar China dan Ukraine bertemu di New York

  • Published in Berita Dunia

(Dmytro Kuleba bercakap kepada akhbar di luar Majlis Keselamatan
PBB di Ibu Pejabat PBB pada 22 September 2022 di New York/AFP)

BEIJING, 23 September- Menteri Luar China, Wang Yi mengadakan pertemuan bersemuka dengan sejawatannya dari Ukraine, Dmytro Kuleba di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu di New York.

Pertemuan itu adalah yang pertama mereka sejak pencerobohan Rusia di Ukraine pada Februari lalu.

Menurut kenyataan Kementerian Luar China, Wang memberitahu Kuleba bahawa "kedaulatan dan integriti wilayah semua negara mesti dihormati. Semua usaha yang kondusif untuk penyelesaian krisis secara aman mesti disokong."

Beijing sebelum ini enggan mengutuk pencerobohan Rusia di Ukraine.

Presiden Xi Jinping sebaliknya meneruskan pakatan strategik yang rapat dengan rakan sejawatannya dari Rusia, Vladimir Putin untuk menentang Amerika Syarikat.

(Wang Yi bercakap semasa mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu membincangkan konflik di Ukraine/AFP)

China telah berulang kali menyarankan agar penyelesaian konflik dicapai secara aman melalui dialog, tetapi tidak mengambil tindakan untuk memudahkannya.

Bermula hari ini, beberapa wilayah Ukraine yang dikuasai Moscow mengundi sama ada untuk menjadi sebahagian daripada Persekutuan Rusia dalam referendum yang ditolak Kiev dan sekutunya sebagai rampasan tanah yang menyalahi undang-undang. -AFP