Wednesday, 28 September 2022

'Jenayah perang' berlaku di Ukraine: Penyiasat PBB

  • Published in Berita Dunia

(FOTO AFP)

GENEVA, 23 September - Pasukan Penyiasat Pertubuhan Bangsa Bersatu berkata bahawa jenayah perang telah dilakukan dalam konflik di Ukraine, sambil menyenaraikan pengeboman Rusia di kawasan awam, pelaksanaan banyak hukuman mati dan penyeksaan di samping keganasan seksual yang mengerikan.

Ketika bercakap di hadapan Majlis Hak Asasi Manusia PBB, ketua pasukan penyiasat peringkat tinggi menyenaraikan barisan panjang pelanggaran serius yang dilakukan sejak Rusia melancarkan pencerobohan berskala penuh di Ukraine tujuh bulan lalu.

Erik Mose, ketua Suruhanjaya Siasatan (COI) yang ditubuhkan pada Mac berkata pasukan itu telah melihat banyak bukti.

“Berdasarkan bukti yang dikumpul, pihak Suruhanjaya telah membuat kesimpulan bahawa jenayah perang telah dilakukan di Ukraine,” katanya.

(Erik Mose berkata 'Jenayah perang' berlaku di Ukraine/AFP)

 Sifat kategorikal kenyataan COI adalah luar biasa, kerana penyiasat PBB lazimnya merujuk pengesahan akhir jenayah perang dan pelanggaran serupa kepada mahkamah undang-undang.

Tetapi pasukan penyiasat dianggotai tiga pakar bebas berkata bukti pelanggaran yang meluas adalah jelas.

Ini merupakan pembentangan kemas kini lisan pertama mereka kepada COI.

Ukraine memuji penemuan itu, dengan Duta Besar Kementerian Luarnya, Anton Korynevych memberitahu majlis melalui pautan video bahawa ia menandakan "satu peristiwa penting ke arah akauntabiliti untuk jenayah Rusia terhadap rakyat Ukraine".

Wakil Rusia tidak hadir dan tidak memberi respons kepada laporan itu.

Beberapa negara hadir untuk mempertahankan Moscow termasuk Belarus, Syria dan Venezuela. -AFP