Wednesday, 28 September 2022

Singapura ambil alih kedudukan Hong Kong sebagai pusat kewangan terkemuka Asia

  • Published in Berita Dunia

HONG KONG, 23 September- Hong Kong telah kehilangan statusnya sebagai pusat kewangan utama Asia kepada Singapura dalam senarai ranking global, manakala New York dan London masing-masing kekal di kedudukan pertama dan kedua.

Singapura melonjak tiga anak tangga ke tempat ketiga dalam Indeks Pusat Kewangan Global (GFCI), indeks ditahunan yang menilai 119 bandar di seluruh dunia.

Hong Kong telah mematuhi versi peraturan ketat COVID-19 Sifar China sepanjang pandemik yang menyebabkan ekonomi terus tertekan dan lebih banyak penghijrahan intelektual berlaku sedangkan hab perniagaan pesaing dibuka semula.

Hong Kong masih mewajibkan kuarantin hotel selama tiga hari untuk semua ketibaan antarabangsa manakala sempadannya dengan tanah besar China kebanyakannya ditutup.

Sebaliknya, Singapura berjaya beralih memasuki fasa peralihan ke endemik awal tahun ini dan membuka semula semua sektor tanpa sekatan.

Negara kota itu menganjurkan pelbagai persidangan kewangan dan perniagaan dalam beberapa bulan akan datang dan perlumbaan malam Formula 1 minggu depan.

Kira-kira empat juta orang dijangka melawat Singapura tahun ini.

San Francisco menduduki tempat kelima dalam tinjauan itu, naik dua anak tangga. Shanghai, yang ditutup awal tahun ini bawah kawalan COVID-19 China, menduduki tempat keenam diikuti Los Angeles, Beijing dan Shenzhen.

Paris menduduki tempat kesepuluh, menggantikan Tokyo yang jatuh ke tempat ke-16. -AFP

(Singapura ambil alih kedudukan Hong Kong sebagai pusat kewangan terkemuka Asia)