Sunday, 2 October 2022

Bot karam: 34 pendatang maut di perairan Syria

  • Published in Berita Dunia

(Foto fail/AFP)

DAMASCUS, 23 September- Sekurang-kurangnya 34 pendatang maut apabila bot yang mereka naiki karam di perairan Syria selepas berlepas dari Lubnan. Menurut pihak berkuasa, angka korban juga dijangka meningkat.

Kementerian Kesihatan Syria dalam kenyataan memaklumkan, 20 orang berjaya diselamatkan dan sedang dirawat di hospital Al-Basel di Tartus.

"Bantuan oksigen telah diberikan kepada kebanyakan orang yang dimasukkan ke hospital dan sebahagian daripada mereka telah dipindahkan ke rawatan rapi," menurut kenyataan itu.

Pihak berkuasa memaklumkan bot itu membawa kira-kira 150 penumpang. Usaha mencari dan menyelamat terpaksa diberhentikan sementara kerana ombak besar.

Ketua Pengarah Pelabuhan Syria, Samer Kbrasli berkata mangsa yang terselamat memaklumkan, bot mereka meninggalkan Lubnan beberapa hari lalu dan terdapat antara 120 hingga 150 orang berada di dalam bot sebelum ia karam.

Sekurang-kurangnya seorang kanak-kanak dilaporkan antara yang maut.

Lubnan, sebuah negara yang menampung lebih sejuta pelarian daripada perang saudara Syria, telah mengalami krisis ekonomi sejak tiga tahun lalu dan ia mendorong kepada peningkatan percubaan untuk meninggalkan Kesatuan Eropah.-AFP


(Orang ramai membantu mangsa bot karam di pelabuhan Tartus/REUTERS)