Sunday, 2 October 2022

PBB gesa siasatan berhubung kekejaman peperangan di Ukraine

  • Published in Berita Dunia

(Bangunan yang musnah akibat dibom di Kharkiv, pada April lalu/AFP)

NEW YORK, 23 September- Setiausaha Agung, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menggesa siasatan berhubung kekejaman yang berlaku dalam peperangan di Ukraine.

Gesaan itu dibuat ketika beliau berucap dalam mesyuarat Majlis Keselamatan bersama para diplomat Rusia dan Amerika Syarikat.

Beliau berkata, laporan badan hak asasi manusia PBB menunjukkan katalog kekejaman kepada orang awam dan tawanan perang.

Ini termasuk pelaksanaan hukuman mati, keganasan seksual, penyeksaan dan layanan tidak berperikemanusiaan.

(Setiausaha Agung, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres/AFP)

“Semua dakwaan ini mesti disiasat secara menyeluruh, untuk memastikan akauntabiliti,” katanya, tanpa terus menuding jari kepada Rusia.

"Pelaku mesti dipertanggungjawabkan dalam prosiding kehakiman yang adil dan bebas. Mangsa dan keluarga mereka mempunyai hak untuk keadilan dan pembaikan", katanya.

Sementara itu, Ketua Majlis Keselamatan, Perancis memanggil sesi mengenai akauntabiliti di Ukraine semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).

“Tiada keamanan tanpa keadilan,” kata Menteri Luar Perancis Catherine Colonna kepada media sebelum memasuki sesi itu.

Menteri Luar Rusia Sergei Lavrov hadir bersama Setiausaha Negara AS Antony Blinken, enggan mengadakan rundingan secara bersemuka dengan rakan sejawatannya dari Rusia sejak pencerobohan itu, meragui kesediaan Moscow untuk sebarang usaha damai.

Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky, ketika berucap di Perhimpunan Agung pada hari Rabu, menuntut tribunal khas dan hukuman terhadap Rusia atas pencerobohan dan kesalahannya.-AFP