Wednesday, 28 September 2022

Pemimpin China, Rusia hadir di Sidang Kemuncak G20 di Bali

  • Published in Berita Dunia

(Presiden Rusia Vladimir Putin bertemu dengan
Presiden China Xi Jinping di Beijing, China, 4 Februari 2022/REUTERS)

JAKARTA, 19 Ogos- Pemimpin China dan Rusia, Xi Jinping dan Vladimir Putin, akan menghadiri Sidang Kemuncak G20 di pulau peranginan, Bali, Indonesia, November ini.

Ketua Institut Ketahanan Nasional, Andi Widjajanto berkata Presiden Joko Widodo memaklumkan kedua-dua pemimpin itu akan menyertai sidang kemuncak itu.

"Jokowi memberitahu saya bahawa Xi dan Putin sama-sama merancang untuk hadir di Bali," kata Widjajanto, kepada Reuters.


(Presiden Indonesia, Joko Widodo/REUTERS)

Presiden Indonesia, Joko Widodo yang juga dikenali sebagai Jokowi, dilaporkan memberitahu agensi berita Bloomberg, semalam bahawa Xi Jinping akan datang. Manakala, Presiden Putin juga memaklumkan akan hadir.

Indonesia mempengerusikan Kumpulan G20 ekonomi utama dan menghadapi tekanan daripada negara-negara barat untuk menarik balik undangannnya kepada Putin berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, dinamakan sebagai “operasi ketenteraan khas”.

Indonesia juga mengundang pemimpin Ukraine Volodymyr Zelenskiy untuk menghadiri Sidang Kemuncak G20 di Bali.

Jokowi telah berusaha untuk meletakkan dirinya sebagai orang tengah antara negara-negara yang berperang. Beliau juga telah bertemu kedua-dua Presiden Ukraine dan Rusia untuk menyeru agar perang ditamatkan dan menyelesaikan krisis makanan global.

Minggu ini, Jokowi berkata kedua-dua negara telah menerima Indonesia sebagai 'jambatan keamanan'.-REUTERS