Wednesday, 28 September 2022

Sebar maklumat salah COVID-19, akaun FB kumpulan antivaksin berpengaruh ditutup

  • Published in Berita Dunia

SAN FRANCISCO, 19 Ogos- Pemilik Facebook, Meta Platforms Inc. telah menutup salah satu kumpulan antivaksin Amerika Syarikat (AS) yang paling berpengaruh daripada rangkaian media sosial kerana penyebaran maklumat salah berkaitan COVID-19, pada Khamis.

Pertahanan Kesihatan Kanak-kanak (CHD), yang selama ini mengkritik vaksin COVID-19, segera menuduh Meta menyekat hak kebebasan mereka untuk bersuara.

"Facebook bertindak di sini sebagai pendokong kerajaan Persekutuan untuk menutup semua kritikan terhadap dasar kerajaan yang zalim," kata pengasas CHD Robert Kennedy Jr., anak saudara kepada mendiang presiden John F. Kennedy, dalam satu kenyataan akhbar.

Jurucakap Meta, Aaron Simpson memberitahu AFP bahawa akaun kumpulan itu di Facebook dan Instagram telah ditutup pada hari Rabu.

Larangan itu dibuat selepas CHD berulang kali melanggar peraturan maklumat salah Meta.

CHD berkata akaun media sosialnya diikuti oleh ratusan ribu pengikut dan mendakwa tindakan Meta itu secara tiba-tiba.

Menerusi satu kenyataan, kumpulan itu berkongsi tangkapan skrin yang menunjukkan mesej yang menyatakan akaun telah digantung kerana melanggar dasar Meta mengenai "maklumat salah yang boleh membawa kepada bahaya dunia sebenar."

CHD menegaskan bahawa larangan itu boleh dikaitkan dengan tuntutan mahkamah yang difailkan terhadap Meta yang menuduh gergasi teknologi itu melanggar hak kebebasan bersuara dengan bergantung pada Pusat Kawalan Penyakit AS berhubung maklumat COVID-19 yang disokong secara saintifik.

Kumpulan antivaksin itu telah membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah rendah terhadapnya dalam litigasi, menurut pemfailan undang-undang.-AFP


(FOTO AFP)