Wednesday, 28 September 2022

Dos penggalak kedua untuk individu paling berisiko dijangkiti COVID-19

  • Published in Berita Dunia

GENEVA, 19 Ogos- Individu paling berisiko dijangkiti COVID-19 disyorkan mengambil dos penggalak kedua untuk meningkatkan imuniti mereka.

Kumpulan Penasihat Strategik Pakar Imunisasi (SAGE), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata vaksinasi awal, biasanya terdiri daripada dua dos, dan dos penggalak pertama yang telah disyorkan; kumpulan tertentu harus ditawarkan suntikan tambahan.

"Kami melakukan ini berdasarkan pemerhatian yang jelas berkaitan dengan penurunan imuniti dan khususnya dalam konteks Omicron," kata penasihat kanan kesihatan WHO Joachim Hornbach kepada pemberita melalui pautan video.

Pengerusi SAGE, Alejandro Cravioto menegaskan, dos penggalak kedua perlu diambil empat hingga enam bulan selepas suntikan pertama, hanya untuk kumpulan berisiko tinggi.

Katanya, ia bukan cadangan umum untuk semua golongan dewasa. Sebaliknya, ditawarkan terutama kepada warga emas, individu lemah imun badan dan wanita hamil.

Ini termasuk mereka yang berisiko tinggi seperti menghidap diabetes, darah tinggi, penyakit jantung dan paru-paru serta buah pinggang.-AFP


(Foto hiasan)