Wednesday, 28 September 2022

Jet pejuang Rusia disyaki ceroboh ruang udara Finland

  • Published in Berita Dunia

(Dua pejuang MIG-31 Rusia disyaki telah ceroboh ruang udara Finland di Teluk Finland di luar Porvoo)

HELSINKI, 18 Ogos- Dua jet pejuang Rusia dipercayai telah mencerobohi ruang udara Finland, kata Kementerian Pertahanan Finland, ketika negara Nordik itu berusaha menyertai NATO berikutan pencerobohan Moscow di Ukraine.

“Dua pejuang MIG-31 Rusia disyaki telah ceroboh ruang udara Finland di Teluk Finland di luar Porvoo,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Tentera Udara Finland menghantar "misi penerbangan operasi" untuk mengenal pasti pesawat itu, katanya, sambil menambah bahawa Pengawal Sempadan Finland telah memulakan penyiasatan awal.

"Insiden itu berlaku pada 9.40 pagi waktu tempatan selama kira-kira dua minit. Kedua-dua jet terbang ke arah barat sejauh kira-kira satu kilometer," kata jurucakap Kementerian Pertahanan kepada AFP.

(Jet pejuang MiG-31 Tentera Udara Rusia. Insiden itu berlaku pada 9.40 pagi waktu
tempatan selama kira-kira dua minit/REUTERS)

Finland berkongsi sempadan timur sepanjang 1,300 kilometer dengan Rusia.

Pada Mei lepas, Perkhidmatan Keselamatan dan Perisikan Finland (SUPO) memberi amaran bahawa "Rusia mempunyai niat" mempengaruhi proses permohonan Finland untuk menganggotai NATO dan "pelbagai percubaan untuk berbuat demikian sudah dijangka". -AFP