Wednesday, 28 September 2022

Rakyat Sudan tuntut pemerintahan awam

  • Published in Berita Dunia

(Sudan memperbaharui tuntutan untuk pemerintahan awam di ibu negara Khartoum/AFP)

KHARTOUM, 18 Ogos- Pasukan keselamatan Sudan melepaskan gas pemedih mata ke arah beribu-ribu yang turun ke jalan raya untuk memperbaharu tuntutan bagi pemerintahan awam selepas rampasan kuasa tentera tahun lalu, kata wartawan AFP.

Penunjuk perasaan dilihat di ibu negara Khartoum membawa bendera Sudan dan melaungkan: "Tidak, tidak untuk pemerintahan tentera," dan "Pemerintahan awam adalah pilihan rakyat," kata saksi.

Sudan telah digegarkan dengan bantahan hampir setiap minggu dan tindakan keras yang setakat ini menyebabkan sekurang-kurangnya 116 orang terbunuh sejak ketua tentera, Abdel Fattah al-Burhan mengetuai rampasan kuasa tentera Oktober lalu.

Perebutan kuasa itu membatalkan proses peralihan kepada pemerintahan awam yang dilancarkan selepas penggulingan Presiden Omar al-Bashir - yang memerintah selama tiga dekad - pada 2019.

Bulan lalu, Burhan berjanji dalam ucapan yang disiarkan di televisyen untuk berundur dan memberi laluan kepada puak Sudan membentuk kerajaan awam.

Pemimpin awam yang digulingkan dalam rampasan kuasa bagaimanapun menolak janjinya sebagai "muslihat", dan penunjuk perasaan prodemokrasi berpegang teguh pada laungan mereka "tiada rundingan, tiada perkongsian" dengan tentera.

(Penunjuk perasaan dilihat di ibu negara Khartoum membawa bendera Sudan dan
melaungkan: "Tidak, tidak untuk pemerintahan tentera/AFP)

Pemimpin agama, Sufi Al-Tayeb Al-Jed pula melancarkan inisiatif yang bertujuan menamatkan krisis politik Sudan.

Tindakan itu disambut baik oleh Burhan, serta kumpulan Islam yang merupakan sebahagian daripada rejim Bashir.

Awal bulan ini timbalan komander Burhan, Mohamed Hamdan Daglo mengaku rampasan kuasa Oktober lalu gagal membawa perubahan di Sudan.

“Semuanya gagal dan kini kita (Sudan) menjadi lebih teruk,” katanya.-AFP