Sunday, 2 October 2022

Shanghai buka semula sesi persekolahan 1 September

  • Published in Berita Dunia

SHANGHAI, 14 Ogos- Sesi persekolahan bagi semua sekolah termasuk menengah, rendah dan tadika di Shanghai akan dibuka semula pada 1 September, selepas beberapa bulan ditutup akibat COVID-19.

Suruhanjaya Pendidikan Perbandaran Shanghai berkata semua guru dan murid perlu menjalani ujian asid nukleik bagi COVID-19 setiap hari sebelum meninggalkan kampus.

Menerusi kenyataan, suruhanjaya itu juga menyeru guru dan pelajar untuk melaksanakan "pengurusan kesihatan diri" selama dua minggu sebelum sesi pembukaan semula sekolah.

Shanghai menutup semua sei persekolahan pada pertengahan Mac lalu, sebelum kawalan pergerakan selama dua bulan di bandar itu bagi memerangi penularan COVID-19 paling teruk, April dan Mei 2022.

Ia membenarkan beberapa pelajar sekolah menengah untuk kembali ke kelas pada bulan Jun. Manakala sebahagian besar yang lain meneruskan sesi pembelajaran di rumah untuk baki penggal.


(Seorang guru memakai pelitup muka ketika mengajar di sebuah sekolah menengah/REUTERS)

Pengumuman mengenai pembukaan semula sekolah membawa kelegaan kepada ramai penduduk.

Shanghai, bandar yang paling ramai penduduk di China, melaporkan lima kes baharu jangkitan tempatan COVID-19, semuanya tidak gejala, pada hari Sabtu. Manakala sebanyak 2,467 kes jangkitan domestik dilaporkan di seluruh negara.

Semalam, pihak berkuasa China mengumumkan pelanjutan keperluan ujian mingguan COVID-19 dan melanjutkan ujian percuma sehingga akhir September dalam usaha untuk mengawal penularan virus tersebut.

Wilayah selatan Hainan kini menjadi yang paling teruk terjejas di China rantau ini, dengan 494 kes simptomatik dan 846 kes tidak gejala dilaporkan.

Timbalan Perdana Menteri China, Sun Chunlan menggesa Hainan untuk mencapai sifar kes di peringkat komuniti secepat mungkin apabila dia memeriksa beberapa tempat di pulau itu, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Sanya Phoenix pada hari Sabtu, lapor media kerajaan.-REUTERS