Sunday, 2 October 2022

Dua lagi kapal bawa bijirin berlepas dari Pelabuhan Laut Hitam

  • Published in Berita Dunia

(Foto REUTERS)

ANKARA, 14 Ogos- Dua lagi kapal membawa muatan bijirin berlepas dari pelabuhan Laut Hitam Ukraine. Ini menjadikan keseluruhan sebanyak 16 kapal dengan 450,000 tan produk pertanian telah berlepas dari negara bergolak itu sejak awal Ogos.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Turkiye, kapal Fulmar S dengan bendera Barbados meninggalkan pelabuhan Chornomorsk, Ukraine membawa 12,000 tan jagung ke Wilayah Iskenderun, Turkiye.

Manakala, kapal Thoe pula membawa 3,000 tan biji bunga matahari ke Tekirdag. Sebuah lagi kapal akan berlepas dari Ankara ke Ukraine untuk membeli bijirin.


(Kapal kargo berbendera Barbados Fulmar S tiba di pelabuhan Chornomorsk/ REUTERS) 

Kementerian Infrastruktur Ukraine berkata pada hari Sabtu bahawa 16 kapal yang membawa 450,000 tan hasil pertanian telah berlepas dari pelabuhan laut Ukraine sejak awal Ogos di bawah perjanjian yang memastikan laluan selamat untuk kapal.

Perjanjian eksport bijirin dilaksanakan Turkiye dan PBB ditandatangani Rusia dan Ukraine, membolehkan eksport bijirin dari pelabuhan Laut Hitam disambung semula selepas terhenti selama lima bulan akibat peperangan.

Presiden Volodymyr Zelensky berkata bahawa dalam tempoh kurang daripada dua minggu, Ukraine telah berjaya mengeksport jumlah bijirin yang sama dari tiga pelabuhan seperti yang dilakukan melalui jalan raya sepanjang Julai.

"Ini telah memungkinkan untuk mengurangkan keterukan krisis makanan," katanya dalam ucapan video pada Sabtu.

Ukraine berharap dapat meningkatkan eksport maritimnya kepada lebih tiga juta tan bijirin dan produk pertanian lain setiap bulan dalam masa terdekat.

Ukraine dan Rusia adalah pengeksport bijirin utama, dan sekatan pelabuhan Ukraine telah memerangkap berpuluh juta bijirin di negara itu, menimbulkan kebimbangan kekurangan makanan yang teruk dan juga kebuluran di beberapa bahagian dunia.-REUTERS