Sunday, 2 October 2022

Sambutan Hari Kebangsaan Singapura Ke-57, meriah

  • Published in Berita Dunia

SINGAPURA, 10 Ogos - Sambutan Hari Kebangsaan Singapura ke-57 yang diadakan secara fizikal berlangsung dengan acara Perbarisan dan Perarakan Istiadat berskala besar di Pentas Terapung Marina Bay di sini, semalam.

Bertemakan “Stronger Together, Majulah!” Perarakan Hari Kebangsaan (NDP) 2022 tahun ini dihadiri oleh Presiden Singapura Halimah Yacob dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Sambutan tahun ini meriah dengan kehadiran kira-kira 25,000 orang di pentas itu, selepas Perarakan Istiadat yang ringkas tahun lalu disebabkan COVID-19.

Sambutan dimulakan dengan segmen pertama bertajuk "Kekuatan Negara Kita", yang merangkumi Paparan Pertahanan Menyeluruh melibatkan persembahan udara, darat dan laut oleh Angkatan Tentera Singapura dan Pasukan Keselamatan Negara.

Menyusuli selepasnya adalah acara Perbarisan dan Perarakan Istiadat yang disertai oleh 2,000 peserta daripada kontinjen perarakan maya dan fizikal, juga dari Angkatan Tentera Singapura, Pasukan Keselamatan Dalam Negeri serta agensi-agensi lain.

(FOTO FAIL)

Segmen itu dilengkapi dengan persembahan tatu tentera secara maya dan buat julung kalinya seasa perarakan berlangsung, pasukan koir membuat penampilan secara maya mempersembahkan lagu tema NDP 2022 "Stronger Together".

Acara itu disambung dengan segmen kedua bertajuk "The Story of Us", yang menampilkan persembahan secara langsung mengenai pencapaian Singapura, sebagai sebuah komuniti dan negara yang muncul lebih kuat berbanding cabaran yang dihadapinya.

Perarakan Istiadat disiarkan secara penstriman langsung di halaman Facebook dan YouTube rasmi NDPeeps, serta saluran TV kebangsaan. -BERNAMA