Friday, 19 August 2022

Gelombang ke-4 penularan COVID-19 berlaku di Peru

  • Published in Berita Dunia

(Foto hiasan AFP)

LIMA, 27 Jun- Kerajaan Peru mengisytiharkan gelombang ke-4 penularan COVID-19 telah mula melanda negara yang merekodkan kadar kematian tertinggi di dunia.

“Ketika ini, kami dalam gelombang ke-4 penularan COVID-19 setelah merekodkan peningkatan kes positif COVID-19… di wilayah berbeza di seluruh negara seperti Junin, Arequipa, Cusco dan kawasan ibu negara,” kata Menteri Kesihatan, Jorge Lopez kepada penyiar tempatan, radio RPP.  

Menurut data rasmi, jangkitan meningkat daripada 1,800 kes setiap minggu pada awal bulan kepada lebih 11,000 kes pada minggu lepas.

Namun setakat ini, peningkatan kes tidak memberi kesan ketara kepada kes yang memerlukan rawatan di hospital termasuk kes kematian.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 65% populasi yang layak divaksinasi telah menerima dos ke-3 vaksin COVID-19 dengan lebih 80% menerima sekurang-kuragnya dua dos vaksin.

Penduduk yang melebihi umur 40 tahun ke atas kini layak menerima vaksin dos ke-4. 

Gelombang ke-3 pandemik COVID-19 di Peru berlaku antara hujung 2021 dan akhir Februari 2022 dengan kemuncak menyaksikan hampir 50,000 kes jangkitan sehari pada minggu ke-3, bulan Januari.

Ketika ini, 833 kes positif COVID-19 dirawat di hospital, berkurangan dari 15,547 kes yang direkodkan pada Mac 2021.

Menurut data Universiti Johns Hopkins, pandemik COVID-19 di Peru telah menyebabkan lebih 213,000 kematian daripada jumlah penduduk seramai 33 juta orang. -AFP