Friday, 19 August 2022

Satu maut, satu hilang dalam kebakaran feri di Filipina

  • Published in Berita Dunia

MANILA, 26 Jun- Sekurang-kurangnya seorang maut selepas sebuah feri penumpang terbakar dan menyaksikan berpuluh-puluh yang lain terpaksa terjun ke laut.

Menurut Pengawal Pantai Filipina (PCG), pasukan penyelamat berjaya menyelamatkan 163 penumpang dan anak kapal dari perairan di pulau tengah Bohol. PCG sedang mencari seorang penumpang yang masih hilang. 

Insiden berlaku ketika feri 'Mama Mary Chloe', yang mempunyai kapasiti 236 orang itu, membawa 157 penumpang, termasuk 15 kanak-kanak dan lapan anak kapal, dari Ubay di Bohol ke Bato di pulau berhampiran Leyte.


(Foto AFP)

Mayat seorang penumpang sudah ditemui dan sebuah kapal pasukan pengawal pantai turut dikerahkan untuk membantu operasi mencari dan menyelamat, tambah pihak berkuasa.

"Operasi menyelamat anak kapal dan penumpang itu dijalankan dengan pantas kerana mendapat bantuan daripada bot-bot yang berada di perairan berkenaan semasa insiden tersebut terjadi", kata pengawal pantai.

Kira-kira 100 orang dibawa ke sebuah pelabuhan di Leyte, dimana para kakitangan kecemasan memeriksa penumpang yang terselamat, menurut video pasukan pengawal pantai.

Filipina, sebuah kepulauan yang mempunyai lebih 7,000 pulau dibelenggu oleh masalah pengangkutan laut, bot yang tidak dikawal selia dengan baik dan terdedah kepada kesesakan dan kemalangan.

Pada Mei lalu, tujuh orang terbunuh dalam insiden kebakaran sebuah feri yang membawa 134 penumpang dan anak kapal dari pulau Luzon.-AFP