Friday, 19 August 2022

Status cacar monyet dijangka akan diisytihar hari ini- WHO

  • Published in Berita Dunia

GENEVA, 24 Jun- Jawatankuasa pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengadakan mesyuarat semalam untuk memutuskan sama ada wabak cacar monyet merupakan kecemasan kesihatan global.

WHO berkata keputusan mesyuarat tertutup tersebut akan dikeluarkan seawal-awalnya pada hari ini.

Lonjakan kes cacar monyet telah dikesan sejak Mei di luar negara Barat dan Afrika Tengah, di mana penyakit itu telah lama menjadi endemik. Kebanyakan kes baharu berlaku di Eropah Barat.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus memaklumkan dalam mesyuarat tersebut, lebih 3,200 kes yang disahkan dan satu kematian kini telah dilaporkan kepada pertubuhan itu, dari 48 negara secara keseluruhan tahun ini.

Tedros memaklumkan pada 14 Jun, bahawa beliau memanggil Jawatankuasa Kecemasan untuk menilai sama ada wabak itu merupakan Kecemasan Kesihatan Awam Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC), iaitu isyarat terbesar yang boleh digunakan oleh agensi kesihatan PBB itu.


(Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus/AFP)

Selain memberikan penilaian PHEIC, ahli jawatankuasa bersedia untuk memberi nasihat kepada WHO dan negara anggotanya tentang cara mencegah penularan penyakit itu dengan lebih baik dan menguruskan tindak balas mereka.

Dalam mesyuarat semalam, Tedros meminta semua negara supaya mengukuhkan kapasiti masing-masing untuk mencegah penularan cacar monyet dengan menggunakan pengawasan, pengesanan kontak dan mengasingkan pesakit yang dijangkiti.

"Wabak di negara yang baru terjejas terus berlaku terutamanya membabitkan kes hubungan intim pasangan sejenis dan mereka yang melakukan hubungan bersama pasangan baharu atau kerap bertukar pasangan", katanya menerusi pautan video dari sidang kemuncak Komanwel di Kigali, Rwanda.

"Penularan yang sedang berlaku mungkin dipandang remeh", katanya.

Beliau berkata sebagai tambahan kepada lebih 3,200 kes yang disahkan, hampir 1,500 kes disyaki cacar monyet dan kira-kira 70 kematian yang disyaki telah dilaporkan di Afrika tengah tahun ini.

Jawatankuasa Kecemasan akan memberikan Tedros dengan syor PHEIC, dan penilaian risiko kepada kesihatan manusia, risiko penyebaran antarabangsa dan risiko gangguan antarabangsa.

Tedros kemudiannya akan membuat keputusan muktamad sama ada PHEIC perlu diisytiharkan, berdasarkan nasihat mereka.- AFP