Sunday, 26 June 2022

Suu Kyi dipindahkan ke kurungan bersendirian di penjara

  • Published in Berita Dunia

YANGON, 23 Jun- Pemimpin Myanmar yang digulingkan, Aung San Suu Kyi dipindahkan dari tahanan rumah ke kurungan bersendirian di dalam kawasan penjara di ibu negara Naypyidaw.

Jurucakap Junta, Zaw Min Tun memaklumkan, Suu Kyi menjalani tahanan itu sejak Rabu, selaras undang-undang jenayah dan kini berada dalam keadaan baik.

Susulan itu, kawalan keselamatan di kawasan penjara berkenaan bertambah ketat berbanding sebelum ini.

Sejak penyingkirannya, Suu Kyi telah menjalani tahanan di rumah di suatu lokasi rahsia di Naypyidaw, ditemani beberapa kakitangan domestik dan anjingnya.

Suu Kyi, 77 hanya keluar dari premis tersebut untuk menghadiri perbicaraan di mahkamah Junta.

(Suu Kyi menghadiri perbicaraan bersama bekas presiden, Win Myint pada 24 Mei 2021 / Foto AFP)

Peguam Suu Kyi dilarang daripada bercakap kepada media dan wartawan dihalang daripada menghadiri perbicaraan.

Di bawah rejim Junta sebelum ini, Suu Kyi menghabiskan masa yang lama dalam tahanan rumah di rumah agam keluarganya di Yangon, bandar terbesar di Myanmar.

Beliau disabitkan dengan kesalahan rasuah, menghasut tentera, melanggar peraturan COVID-19 dan melanggar undang-undang telekomunikasi.