Monday, 27 June 2022

Pilihan Raya Australia, Morisson akui kekalahan, Albanese janji bawa perubahan

  • Published in Berita Dunia

SYDNEY, 22 Mei - Perdana Menteri Australia, Scott Morrison, mengakui kekalahan kepada calon pembangkang dari Parti Buruh, Anthony Albanese.

Beliau turut memaklumkan akan melepaskan jawatan ketua parti Liberal.

Ia sekali gus menamatkan pentadbiran selama lapan tahun enam bulan menerusi kerajaan campuran.

Morrison mengambil alih pentadbiran Australia pada 2018 selepas beberapa krisis kepimpinan.

Dalam ucapan yang disiarkan di televisyen, Morrison berkata, beliau sudah bercakap dengan pemimpin pembangkang dan perdana menteri baharu, Anthony Albanese, serta mengucapkan tahniah atas kemenangannya.

Pengundian di kebanyakan negeri di Australia ditutup semalam dengan tinjauan pendapat sejak awal lagi menunjukkan pihak pembangkang, Parti Buruh, mendahului gabungan Konservatif pimpinan Morrison.

Sementara itu, Pemimpin Parti Buruh Anthony Albanese menang pada Pilihan Raya Umum Australia.


(Pemimpin Parti Buruh Anthony Albanese menang pada Pilihan Raya Umum Australia-AFP)

Beliau berkata, rakyat Australia telah mengundi untuk perubahan.

Pemimpin Parti Buruh berusia 59 tahun itu berikrar untuk menjadikan Australia sebagai kuasa besar tenaga boleh diperbaharui, memberi suara kepada masyarakat peribumi dalam penggubalan dasar dan peluang sama rata kepada wanita, sebagai keutamaan negara.

Dengan hampir dua pertiga undi dikira, Albanese dilaporkan bakal mengetuai parti yang terbesar di parlimen, meskipun masih belum memperoleh majoriti. - AFP