Logo

Lapan cedera akibat serangan peluru berpandu Rusia

KIEV, 21 Mei - Sekurang-kurangnya lapan orang, termasuk seorang kanak-kanak, cedera akibat serangan peluru berpandu Rusia.

Menurut pihak berkuasa, serangan tersebut turut memusnahkan pusat kebudayaan yang baru diperbaiki di timur Ukraine.

Presiden Volodymyr Zelensky berkata di media sosial bahawa Rusia telah menyasarkan "Rumah Budaya yang baru diubah suai", di bandar Lozova, di wilayah timur Kharkiv.

Beliau menyifatkan serangan itu sebagai "kejahatan dan kebodohan mutlak".

Gabenor wilayah Kharkiv, Oleg Sinegubov berkata lapan orang mangsa yang cedera itu, telah terkena serpihan.


(Letupan besar ketika serangan terhadap pusat kebudayaan di bandar Lozova / AFP)

Kebakaran berlaku di pusat kebudayaan selepas serangan peluru berpandu yang turut merosakkan bangunan berhampiran, kata Sinegubov, sambil menambah bahawa tentera Rusia telah melepaskan tiga peluru berpandu ke arah bangunan berkapasiti 1,000 orang itu yang juga merupakan pusat kebudayaan terbesar di rantau tersebut.

"Tidak dinafikan penjajah secara langsung menyasarkannya, dua daripada peluru berpandu telah dipintas dan api telah dipadamkan" katanya menerusi telegram.

"Penjajah telah mengenal pasti budaya, pendidikan dan kemanusiaan sebagai musuh mereka. Dan mereka tidak melepaskan peluru berpandu atau bom," tulis Zelensky di Telegram.

Beliau menambah video pada mesejnya yang menunjukkan letupan besar di bangunan itu, menyebabkan banyak serpihan terbang ke semua arah, diikuti oleh kepulan asap hitam tebal.

Menteri Pertahanan Oleg Motuzianyk berkata keadaan di bahagian timur tegang pada hari Jumaat dan kelihatan semakin teruk.

Dia memberitahu sidang akhbar bahawa tentera Rusia melepaskan tembakan ke arah barisan pertahanan Ukraine.

Rusia dituduh menyasarkan infrastruktur awam sejak ia melancarkan pencerobohan ke atas Ukraine pada 24 Februari. Konflik itu telah memusnahkan beberapa buah bandar.-AFP

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.