Monday, 27 June 2022

Lima hari catat sifar COVID-19, Shanghai kembali kesan tiga jangkitan

  • Published in Berita Dunia

(Kerja-kerja sanitasi giat dilakukan semasa perintah berkurung dilaksanakan di Shanghai, 18 Mei 2022/FOTO REUTERS)

 BEIJING, 20 Mei- Shanghai mengenakan sekatan lebih ketat berikutan pengesanan kes baharu COVID-19, buat pertama kali selepas tempoh lima hari tanpa jangkitan di luar kawasan kuarantin.

Bagaimanapun, langkah memansuhkan perintah berkurung pada 1 Jun ini dilihat masih kekal dalam perancangan, bergantung kepada keadaan semasa.

Hab komersial dengan 25 juta penduduk itu merekodkan tiga kes baharu di sebuah daerah di luar kawasan kuarantin semalam, manakala kadar jangkitan menyaksikan peningkatan dalam kawasan yang dikawal ketat.

Menurut pihak berkuasa, tiga kes baharu itu membabitkan sebuah keluarga yang sudah mengambil tiga dos vaksin dan jangkitan dikesan ketika mereka melakukan ujian pengesanan di daerah Qingpu.

Mereka dilaporkan tidak meninggalkan bandar Xujing sejak 14 hari lalu, namun pernah pergi ke empat kawasan termasuk sebuah pasar raya yang kini ditutup bagi menjalani proses sanitasi.

Timbalan Ketua daerah Qingpu, Zhang Yan, berkata sejak kes dikesan, semua 200,000 penduduk bandar berkenaan menjalani ujian COVID-19 dan disahkan negatif.

"Daerah kami mengikuti semua langkah kawalan dan pencegahan yang ditetapkan bagi mengawal dan mencegah wabak ini dengan baik serta secepat mungkin," katanya.

Dalam pada itu, pegawai pihak berkuasa tempatan memaklumkan, taman rekreasi akan dibuka semula di pinggir bandar Shanghai mulai Ahad ini, manakala taman lain dijangka pada Jun ini sekiranya memenuhi syarat ditetapkan.

Namun, kemudahan dalam taman berkenaan kekal tidak beroperasi manakala usaha untuk membuka semula empat laluan Metro mulai Ahad ini, kekal seperti dirancang.

Shanghai baru-baru ini membenarkan lebih ramai penduduknya keluar dari kediaman dengan kebanyakan kawasan kejiranan mengeluarkan pas terhad supaya mereka dapat bersiar atau pergi ke pasar raya.

(Wanita membawa kotak makanan semasa penutupan Covid-19 di Shanghai, pada 18 Mei 2022/ FOTO REUTERS)

Bagaimanapun, kebanyakan penduduk masih terperangkap dalam kediaman masing-masing dengan bergantung kepada aplikasi penghantaran dan bekalan makanan daripada kerajaan.

Perintah berkurung dan peraturan ketat yang dilaksanakan di Shanghai serta bandar lain adalah berpandukan dasar 'sifar-COVID-19' bagi memutuskan rantaian jangkitan wabak itu sebaik saja dikesan, berbanding dasar 'hidup dengan COVID-19' di negara lain.

Beijing pula, yang menempatkan 22 juta penduduk, melaporkan 62 kes baharu COVID-19 semalam, meningkat berbanding 55 kes pada hari sebelumnya.

Ibu negara China itu berusaha menghentikan penularan sejak April lalu biarpun langkah kawalan dilaksanakan dengan ramai penduduk bekerja dari rumah selain banyak kedai dan lokasi tumpuan ditutup.

Namun, jumlah kes harian kekal pada catatan dua angka berbanding Shanghai serta bandar raya utama di negeri lain. - REUTERS