Monday, 27 June 2022

Pemimpin Quad bersidang, tingkat kerjasama ketenteraan serantau

  • Published in Berita Dunia

TOKYO, 20 Mei - Pemimpin Jepun, India, Australia dan Amerika Syarikat bertemu di Tokyo minggu depan untuk mencari titik persamaan dalam mengekang pengaruh China dk rantau Indo-Pasifik, walaupun terdapat perbezaan pendapat antara mereka mengenai pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Dialog keselamatan strategik dikenali sebagai Quad itu pertama kali bersidang pada 2007 dengan agenda mengimbangi pengaruh ekonomi, ketenteraan dan teknologi China yang semakin berkembang.

Ramai pemerhati yakin bahawa Beijing sedang mengintai tindak balas antarabangsa terhadap perang di Ukraine dalam ia mempertimbangkan pilihannya untuk "menyatukan semula" Taiwan dengan tanah besar.

"Pemimpin Quad akan bercakap tentang cara mereka boleh meningkatkan pencegahan dan kerjasama ketenteraan (sekiranya China mencerobohi Taiwan)," kata Pengarah bersama Institut Kajian Asia Kontemporari di Temple University, Robert Dujarric.

(Pakatan Quad sepakat kekang tindakan unilateral kuasa besar tanpa menamakan China secara langsung/AFP)

"Forum 24 Mei akan menunjukkan kepada Beijing bahawa kumpulan Quad bekerjasama untuk membendung, menghalang, menentang China," katanya kepada AFP.

Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden akan berada di Jepun buat kali pertama sejak memegang jawatan dan dijangka menggunakan rundingan dua hala dengan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida untuk menangani kebimbangan mengenai Beijing.

Mereka dijangka mengeluarkan kenyataan bersama yang memberi amaran bahawa perkumpulan Quad bersedia untuk "bertindak balas" terhadap tindakan China yang menjejaskan kestabilan serantau.

Suasana ketika ini tegang, dan keseluruhan sidang kemuncak itu masih boleh dibayangi Korea Utara, yang dipercayai sedang membuat persediaan melancarkan peluru berpandu baharu atau ujian nuklear.

Di pihak Jepun, kebimbangannya ialah tindakan China meningkatkan rondaan di sekitar pulau yang dipertikaikan. -AFP