Saturday, 25 June 2022

Puluhan cedera dalam keganasan polis Israel di upacara pengebumian warga Palestin

  • Published in Berita Dunia

(Warga Palestin membawa jenazah Walid al-Sharif di hadapan masjid Dome of the Rock di perkarangan masjid Al-Aqsa/AFP) 

BAITULMAQDIS, 17 Mei - Lebih 70 rakyat Palestin cedera dalam pertempuran semalaman dengan polis Israel yang mencemari upacara pengebumian di Baitulmaqdis, kata pegawai perubatan Palestin pada hari Selasa.

Pergolakan berlaku ketika rakyat Palestin mengebumikan Walid al-Sharif, 23 tahun, yang meninggal dunia pada hari Sabtu akibat kecederaan yang dialami semasa pertempuran bulan lalu di perkarangan Masjid Al-Aqsa.

Menurut Bulan Sabit Merah Palestin, polis Israel melepaskan tembakan peluru getah dan bom tangan, di dalam dan sekitar Kota Lama Baitulmaqdis timur.

Pihak polis pula berkata, penduduk Palestin melempar batu, botol, batu bata dan objek berat lain, serta menembak bunga api ke arah pasukan itu.

Polis juga mendakwa 15 orang telah ditangkap.

(Puluhan cedera dalam keganasan polis Israel di upacara pengebumian warga Palestin/AFP)

Kumpulan Advokasi Kelab Banduan Palestin bagaimanapun berkata, angka sebenar dianggarkan lebih 50 orang.

Pertempuran berat sebelah itu tercetus beberapa hari selepas serbuan polis semasa perarakan pengebumian wartawan veteran Al Jazeera, Shireen Abu Akleh yang ditembak mati semasa serbuan tentera Israel di Tebing Barat. -AFP