Saturday, 25 June 2022

UK akan dedahkan rancangan unilateral untuk perdagangan pasca-Brexit di Ireland Utara

  • Published in Berita Dunia

(Orang ramai memegang sepanduk/REUTERS)

LONDON, 17 Mei - Britain akan memperincikan bagaimana ia merancang untuk merombak peraturan perdagangan pasca-Brexit di Ireland Utara yang telah mencetuskan krisis politik di wilayah itu, di tengah-tengah kebimbangan tercetusnya risiko perang perdagangan UK-Kesatuan Eropah (EU).

Menurut jurucakap Perdana Menteri, Boris Johnson, Setiausaha Luar, Liz Truss akan menyatakan rasional pendekatan kerajaan dalam satu kenyataan kepada penggubal undang-undang di parlimen.

Kerajaan UK masih belum mengesahkan perkara itu, tetapi laporan media mengatakan ia sedang merancang perundangan yang membenarkan London secara unilateral mengatasi beberapa peraturan sekitar perdagangan Ireland Utara.

London dilaporkan merancang menulis semula apa yang dipanggil protokol Ireland Utara, yang dipersetujuinya sebagai sebahagian daripada perjanjian meninggalkan EU pada 2019.

Protokol itu mewajibkan pemeriksaan barangan yang tiba ke Ireland Utara dari England, Scotland dan Wales.

Ia menimbulkan kemarahan persatuan kesatuan wilayah yang mendakwa protokol tersebut menjejaskan kedudukannya di UK.

Setiausaha Negara Ireland Utara, Brandon Lewis berkata, protokol itu "tidak berfungsi untuk perniagaan, ia tidak berfungsi untuk sesiapa sahaja di Ireland Utara".

(Setiausaha Negara Ireland Utara, Brandon Lewis/REUTERS)

"Masalah harus diselesaikan sebaik-baiknya melalui persetujuan dengan EU.

"Tetapi kami akan melakukan apa yang perlu kami lakukan untuk memastikan produk boleh bergerak ke Ireland Utara dengan cara yang sepatutnya iaitu dari Great Britain sebagai sebahagian daripada pasaran dalaman United Kingdom," katanya.

Parti pro-British terbesar, Democratic Unionist Party (DUP), kini enggan menyambung semula perkongsian kuasa di Belfast dengan saingan pro-Ireland, Sinn Fein sehingga protokol itu diolah semula.

Pendiriannya dibuat hampir dua minggu selepas Sinn Fein meraih kemenangan pertama yang bersejarah dalam pilihan raya parlimen, seterusnya melayakkan parti itu memegang jawatan Menteri Pertama dalam badan eksekutif yang dikuasai bersama dengan DUP.- AFP