Tuesday, 17 May 2022

Eropah sumbang AS$500 juta lagi kepada Kiev

  • Published in Berita Dunia

KIEV, 15 Mei - Eropah berikrar untuk menyumbang AS$500 juta lagi dalam bentuk sokongan ketenteraan kepada Kiev, ketika permohonan Sweden dan Finland untuk menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berdepan pelbagai halangan.

Moscow menegaskan akan memotong bekalan elektrik ke Helsinki dan Turki, yang juga anggota perikatan Atlantik itu, perlu memberi kelulusan untuk kedua-dua negara itu menyertai NATO.

Namun, Russia dan Turki bertegas membantah mana-mana negara Eropah Utara menyertai NATO.

Pertempuran antara tentera Russia dan Ukraine berterusan di barisan hadapan di Donbas dengan kedua-dua pihak hanya mencatat sedikit kemajuan, manakala pejuang Ukraine yang dikepung di kilang besi di Mariupol pula merayu untuk bantuan.

Dalam pada itu, Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Lloyd Austin dan Menteri Pertahanan Russia, Sergei Shoigu bercakap secara langsung buat pertama kali sejak sebelum perang itu bermula.

(FOTO EPA)

Namun, kebanyakan perincian perbincangan selama satu jam itu tidak diketahui, kecuali gesaan Austin supaya Shoigu segera melaksanakan gencatan senjata.

"Panggilan itu tidak secara khusus menyelesaikan sebarang isu kritikal atau membawa kepada perubahan secara langsung dalam tindakan atau dasar Russia," kata seorang pegawai pertahanan kanan AS.

Dalam pada itu, tentera Russia terus menyerang kilang besi Azovstap di Mariupol, di mana kira-kira 1,000 pejuang Ukraine sedang dikepung.

Dari dalam kilang itu, Sviatoslav Palamar yang juga antara pemimpin rejimen Aziv Ukraine, memberitahu Forum Keselamatan Kiev secara dalam talian bahawa terdapat sekitar 600 tercedera dan merayu bantuan supaya mereka diselamatkan.

"Kami masih terus bertahan, dan tidak akan mengalah," katanya.

Beliau menggesa AS dan sekutu yang lain untuk mencari jalan bagi membantu membawa keluar anggotanya yang cedera. - AFP