Thursday, 26 May 2022

Pemimpin-pemimpin Asean bersoladirati dalam pendirian terhadap isu yang dibangkitkan

  • Published in Berita Dunia

WASHINGTON, 14 Mei - Pemimpin-pemimpin Asean bersoladirati dalam pendirian terhadap isu yang dibangkitkan di hadapan Presiden Joe Biden sempena Sidang Kemuncak Khas bersama Amerika Syarikat.

Menerusi intervensi dalam sesi bersama Biden, Datuk Seri Ismail Sabri antara lain menyuarakan kebimbangan terhadap dunia yang terus menyaksikan konflik di pelbagai pelusuk, serta kerosakan dan penderitaan akibatnya.

Malaysia berharap Amerika Syarikat sebagai kuasa besar dapat memainkan peranan selaku pemimpin di peringkat antarabangsa.

Ini termasuk dialog untuk penyelesaian damai berhubung situasi di Ukraine.


(Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri ketika bersama media di sini)

"Bukan sahaja Malaysia, Dari segi Ukraine, Rusia Ukraine ini, bukan Malaysia saja tapi negara lain juga, Indonesia, Kemboja, membangkitkan. Hampir semua negara setuju isu ni perlu diselesaikan secara damai. Saya percaya, isu ini bukan isu yang baru, isu ini pun dah agak berlarutan, Jadi mereka perlu jujur,untuk menyelesaikan isu ini, kalau tidak meraka dah tahu apa yang patut dilakukan," katanya di sini.

Berkaitan konflik di Myanmar, Malaysia komited untuk merealisasikan Persetujuan Lima Perkara (5PC) seperti yang telah dipersetujui oleh para Pemimpin ASEAN pada April 2021.

Malaysia menggesa Amerika Syarikat untuk meningkatkan bantuan kepada Pusat Koordinasi Bantuan Kemanusiaan Mengenai Pengurusan Bencana ASEAN dan mengambil lebih ramai pelarian yang kini berada di Malaysia.

Selain itu, semua negara harus kekal komited mengekalkan Laut China Selatan sebagai lautan yang aman, stabil dan untuk perdagangan.

Ia penting untuk memastikan rantaian bekalan global tidak terganggu kerana ekonomi kini di dalam proses pemulihan akibat kesan buruk pandemik COVID-19.