Sunday, 26 June 2022

Penduduk Afghanistan terputus bekalan eletkrik akibat serangan bom

  • Published in Berita Dunia

(Jana kuasa elektrik di pinggir Mazar-i-Sharif/AFP)

KABUL, 1 Mei - Serangan bom yang meletupkan dua menara pemancar kuasa di barat ibu kota Kabul menyebabkan berjuta-juta penduduk di 11 wilayah di Afghanistan berhadapan gangguan bekalan elektrik, kata pihak berkuasa.

Serangan berlaku menjelang cuti Aidilfitri yang menandakan berakhirnya bulan suci Ramadan.

Tiang dua menara di wilayah Parwan dibom lewat Jumaat, memutuskan bekalan elektrik ke ibu negara dan wilayah jiran.

(Orang ramai berkumpul di luar hospital Kecemasan di Kabul, Afghanistan, berikutan letupan pada 29 April 2022/AP)

"Musuh telah meletupkan dua tiang elektrik dengan bom," kata Hekmatullah Maiwandi, jurucakap syarikat elektrik DABS yang dikendalikan kerajaan, dalam satu kenyataan video.

Lima pasukan daripada firma itu telah dikerahkan untuk menjalankan pembaikan.

"Pemulihan penuh menara dijangka dapat disiapkan dalam masa dua minggu," tambahnya.

Banyak bangunan kediaman dan perniagaan di Kabul, bandar berpenduduk kira-kira lima juta orang, mula mendapatkan khidmat penjana kuasa swasta bagi memastikan bekalan elektrik yang mencukupi menjelang perayaan Aidilfitri.

Menurut polis, dua suspek telah ditahan berhubung letupan itu. -AFP