Tuesday, 17 May 2022

Ribut Tropika Ana: 34 maut di Madagascar, tiga di Mozambique

  • Published in Berita Dunia

FOTO AFP

LILONGWE, 26 Januari- Ribut tropika Ana telah meragut sekurang-kurangnya 34 orang di Madagascar dan tiga di Mozambique.

Ribut yang terbentuk di pantai timur pulau terbesar di Afrika iaitu Madagascar telah membawa hujan lebat yang menyebabkan banjir dan tanah runtuh di ibu negara Antananarivo.

Sementara itu di Malawi pula ribut berkenaan telah menyebabkan negara itu terputus bekalan elektrik.

Ia susulan banjir kilat sehingga memaksa syarikat elektrik menutup penjananya dan mula pulih secara berperingkat sejak pagi Selasa.

Laporan terbaharu Agensi Pengurusan Bencana Madagascar pada Selasa menyebut 34 orang meninggal dunia dan hampir 65,000 telah kehilangan tempat tinggal sejak minggu lalu.

Beberapa daerah rendah di ibu negara kekal dalam keadaan berjaga-jaga dan pemindahan kecemasan telah dilancarkan.

Ribut berkenaan membadai tanah besar Afrika pada Isnin lalu membawa hujan lebat dan angin kencang di daerah tengah dan utara Mozambique.

Pihak berkuasa Mozambique berkata tiga maut manakala sekurang-kurangnya 66 yang lain cedera.

Lebih 3,800 orang terjejas manakala sebuah klinik dan sekolah turut rosak.