Monday, 16 May 2022

Tentera pakatan nafi serang penjara Yaman menyebabkan 70 orang terbunuh

  • Published in Berita Dunia

FOTO AFP

SAADA, 22 Januari- Tentera pakatan diketuai Arab Saudi menafikan mereka melancarkan serangan udara ke atas penjara di utara Yaman yang dikuasai pemberontak, membunuh sekurang-kurangnya 70 orang termasuk pelarian, wanita dan kanak-kanak.  

“Dakwaan mengatakan tentera pakatan mengarahkan serbuan menyebabkan bangunan runtuh dan kematian adalah satu tuduhan tidak berasas,” jelas pakatan itu.

Pada masa sama, serangan udara di bandar Pelabuhan Hodeida, membunuh sekurang-kurangnya tiga kanak-kanak yang kebetulan bermain di kawasan berhampiran. Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengutuk serangan tersebut yang mengenai kemudahan telekomunikasi dan melumpuhkan internet di negara berkenaan.

“Tetapi, dakwaan yang dikatakan anggota Militia itu adalah tidak berasas, kata jurucakap tentera pakatan, Turki al-Maliki merujuk pemberontak Houthi disokong Iran.

Keganasan terbaru itu berlaku selepas Houthi mengaku bertanggungjawab terhadap serangan dron dan peluru berpandu ke atas Abu Dhabi yang membunuh tiga individu Isnin lalu.

Sejak konflik bermula kira-kira tujuh tahun lalu, puluhan ribu penduduk terbunuh dan jutaan lagi terpaksa menjadi pelarian yang disifatkan PBB sebagai krisis kemanusiaan terburuk di dunia.

Pada 2014, pemberontak Houthi merampas ibu kota Sanaa mendorong campur tangan ketenteraan yang diketuai Arab Saudi seterusnya sokongan Amerika Syarikat, Perancis dan Britain pada 2015. -AFP