Monday, 16 May 2022

Pesawat bawa bantuan kemanusiaan tiba di Tonga

  • Published in Berita Dunia

TONGA, 22 Januari - Sebuah pesawat Australia yang membawa bantuan tiba di Tonga semalam.

Ia adalah sebahagian daripada tindak balas antarabangsa terhadap seruan membantu negara kepulauan Pasifik itu berikutan letusan gunung berapi dan tsunami yang dahsyat.

Menurut Komander Divisyen Pertama, Majer Jeneral Scott Winter, keperluan terhadap air bersih sangat kritikal buat masa ini.

Rakaman yang disediakan Jabatan Pertahanan Australia menunjukkan kapal pengangkut tentera Globemaster C-17A Australia mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Fuaʻamotu, membawa peralatan penyahgaram, khemah dan dapur.

Tonga negara bebas COVID-19 dan mempunyai dasar kawalan sempadan yang ketat.

Ia menerima bantuan tanpa sentuhan yang dilihat mula tiba di kapal terbang dan pelabuhan.

Letusan gunung berapi Tonga-Hunga Ha'apai Sabtu lalu mencetuskan tsunami yang memusnahkan kampung, pusat peranginan serta komunikasi negara yang mempunyai kira-kira 105,000 orang.

Letusan turut menghantar gelombang kejutan dan tsunami ke seluruh Pasifik.