Tuesday, 17 May 2022

Bekas Menteri Thailand, tubuh parti baharu

  • Published in Berita Dunia

BANGKOK, 19 Januari - Dua bekas pemimpin parti pemerintah Thailand - parti Palang Pracharath (PPRP) telah menubuhkan parti politik baharu - Sarng Anacot Thai, dan berikrar membantu memulihkan ekonomi negara.

Sarng Anacot Thai bermaksud "Membina Masa Depan Thailand" telah dilancarkan oleh bekas menteri kewangan Uttama Savanayana dan bekas menteri tenaga Sontirat Sontijirawong hari ini.

Kedua-duanya pernah berkhidmat dalam barisan Kabinet Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha sebelum meletak jawatan pada Julai 2020.

Uttama berkata, parti politik baharu yang mewakili pelbagai latar belakang masyarakat itu berharap dapat menyelesaikan semua masalah mendesak dalam negara.

“Kami di sini bukan meneruskan kekuasaan mana-mana parti politik. Kami di sini untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya pada pelancaran rasmi parti itu, di sini.

Beliau menambah, parti itu tidak akan mencalonkan Prayuth sebagai calon perdana menteri, sambil menambah bahawa perdana menteri seterusnya ‘mesti berkebolehan serta diiktiraf di peringkat antarabangsa’.

Uttama dan Sontirat adalah pemimpin utama dalam PPRP yang membantu Prayuth kembali menjawat jawatan perdana menteri selepas Pilihan Raya Umum 2019. 

Bagaimanapun, kedua-duanya meletak jawatan dan bertindak keluar parti pada 2020 berikutan perebutan kuasa dalam gabungan parti pemerintah. - BERNAMA