Tuesday, 17 May 2022

Sela masa antara ibadah umrah ditetapkan kepada 10 hari

  • Published in Berita Dunia

 


FOTO AFP

RIYADH, 17 Januari- Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menetapkan sela masa 10 hari antara pengeluaran dua permit umrah kepada jemaah pada semua peringkat umur termasuk jemaah asing.

"Jemaah asing boleh menunaikan maksimum tiga kali umrah sepanjang 30 hari berada di negara ini. Sama seperti prosedur sedia ada, para jemaah perlu mendapatkan permit menerusi aplikasi Eatmarna atau Tawakkalna pada penghujung hari ke-10 selepas menunaikan umrah pertama," menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.

Ini bermakna ibadah terbabit hanya boleh dilaksanakan untuk setiap 10 hari.

Peraturan baharu itu berikutan pelaksanaan semula langkah berjaga-jaga dan protokol pencegahan seperti pemakaian pelitup muka dan mengekalkan penjarakan sosial di dua masjid suci berikutan lonjakan kes COVID-19 terutamanya varian Omicron di negara itu.

Kementerian itu sebelum ini mengenakan sela masa 15 hari antara pelaksanaan dua umrah tetapi membatalkannya pada Oktober tahun lalu sebelum memperkenalkan sela masa 10 hari antara dua umrah.-AFP