Thursday, 20 January 2022

updated 2:50 AM UTC, Jan 20, 2022

108 orang awam terkorban dalam serangan di Tigray bulan ini

  • Published in Berita Dunia

FOTO AFP


GENEVA, 14 Januari - Sekurang-kurangnya 108 orang awam terkorban bulan ini dalam siri serangan udara di utara Tigray, Ethiopia.

Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat memberi amaran mengenai bencana kemanusiaan yang akan berlaku di rantau itu, dengan operasi pengagihan makanannya hampir terhenti.

Jurucakap Pejabat Hak Asasi Manusia PBB, Liz Throssell, menggesa pihak berkuasa Ethiopia dan sekutunya memastikan perlindungan orang awam.

Beliau menekankan, serangan tidak seimbang yang mengenai sasaran bukan tentera adalah bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan boleh disifatkan sebagai suatu jenayah perang.

"Kami cemas dengan pelbagai laporan yang amat membimbangkan terus diterima mengenai korban awam dan kemusnahan harta benda awam akibat serangan udara di wilayah Tigray.

"Sekurang-kurangnya 108 orang awam dilaporkan terbunuh dan 75 lagi cedera sejak awal tahun ini, akibat serangan udara yang didakwa dilakukan oleh tentera udara Ethiopia," katanya di sini.

Beliau menyatakan, kebanyakan serangan berlaku minggu lalu.

Pada 7 Januari, serangan dilakukan ke atas kem Dedebit yang dikhaskan untuk individu kehilangan tempat tinggal.

"Serangan itu menyebabkan sekurang-kurangnya 56 maut dan 30 yang lain cedera, tiga daripadanya meninggal dunia di hospital selepas itu.

Pada Isnin pula, 17 orang awam terbunuh manakala 21 yang lain cedera selepas serangan udara mengenai kilang tepung, dan pada hari Selasa, Institut Pendidikan dan Latihan Vokasional Teknikal milik kerajaan telah menjadi sasaran, sekali gus mengorbankan tiga lelaki," kata Throssell.

Sementara itu, jurucakap Program Makanan Sedunia (WFP) PBB, Tomson Phiri berkata, pengagihan makanan kini berada pada tahap paling minimum.

Peningkatan konflik menyebabkan tiada konvoi WFP sampai ke Ibu Kota Tigrayan Mekele sejak pertengahan Disember.

"Selepas 14 bulan konflik di utara Ethiopia, lebih ramai orang memerlukan bantuan makanan segera.

"Dengan tiada makanan, tiada bahan bakar, tiada akses, kita berada di ambang bencana kemanusiaan yang besar."

Ethiopia Utara telah dilanda konflik sejak November 2020 apabila Perdana Menteri, Abiy Ahmed menghantar tentera ke Tigray selepas menuduh parti pemerintah wilayah itu, Barisan Pembebasan Rakyat Tigray (TPLF) melakukan serangan ke atas kem tentera persekutuan. - AFP