Wednesday, 26 January 2022

updated 10:55 AM UTC, Jan 26, 2022

Lonjakan kes Omicron, kelas ditangguh seminggu

  • Published in Berita Dunia

FOTO AFP


MANILA, 14 Januari -
Sekolah-sekolah di ibu negara Filipina diarah menangguhkan kelas dalam talian selama seminggu, susulan lonjakan kes COVID-19 daripada varian Omicron.

Jangkitan COVID-19 yang merebak di kawasan metropolis dan wilayah sekitarnya itu menyebabkan gangguan meluas terhadap perniagaan, perkhidmatan dan penyedia penjagaan kesihatan.

Jabatan Pendidikan Wilayah dalam satu kenyataan memaklumkan, arahan tersebut bagi mengurangkan beban kesihatan yang ditanggung oleh guru dan murid.

Perikatan Guru Prihatin menyambut baik "cuti rehat kesihatan" itu memandangkan beribu-ribu guru dan murid telah dijangkiti wabak COVID-19.

Penangguhan sesi pembelajaran berkenaan dibuat beberapa hari selepas Jabatan Pendidikan Kebangsaan memberi pilihan kepada seluruh sekolah di negara itu untuk berbuat demikian selama dua minggu pada bulan ini apabila Omicron menyerang Filipina.

Walaupun hampir setiap negara di dunia telah memulakan sesi persekolahan sama ada keseluruhan atau sebahagian sahaja, namun Filipina masih kekal dengan pendirian untuk menutup hampir semua sekolah di negara itu sejak Mac 2020.

Usaha rintis dibuat untuk membuka semula sesi persekolahan pada November lepas, namun pada Disember, ia terpaksa ditangguhkan semula susulan peningkatan jangkitan COVID-19.

Jumlah kes baharu mencecah 37,207 pada Jumaat, dengan lebih tiga juta orang di negara itu dijangkiti sejak wabak tersebut mula melanda Filipina. -AFP