Wednesday, 26 January 2022

updated 10:20 AM UTC, Jan 26, 2022

Nahas kereta api tergelincir daripada landasan di Bengal Barat, India ragut lima nyawa

  • Published in Berita Dunia


FOTO AFP

NEW DELHI, 14 Januari - Nahas kereta api di Bengal Barat, India telah meragut sekurang-kurangnya lima nyawa dan puluhan lagi cedera pada semalam.

12 gerabak kereta api Ekspres Guwahati-Bikaner dilaporkan tergelincir daripada landasan berhampiran bandar Maynaguri di daerah Jalpaiguri.

Pegawai kanan kerajaan berada di lokasi nahas untuk menyelia operasi membantu dan menyelamat, kata ketua menteri Bengal Barat, Mamata Banerjee.

Kereta api itu dalam perjalanan dari Patna di Bihar ke Guwahati di timur laut Assam, menurut media tempatan.

"Kami rasa kereta api bergoyang dan bagasi yang disimpan di bahagian atas terjatuh berselerakan ke bawah," kata seorang mangsa yang terselamat.

Visual dari lokasi kemalangan memaparkan gerabak rosak dan penumpang serta penduduk tempatan yang kelihatan resah.

Kesemua yang cedera sedang dirawat di hospital.

Menteri Kereta Api India, Ashwini Vaishnaw dalam ciapannya di Twitter turut menjelaskan situasi semasa kejadian dan selain memaklumkan nilai pampasan yang akan diterima mangsa.

Nahas sedemikian adalah perkara biasa membabitkan rangkaian kereta api India yang dilaporkan perkhidmatannya semakin berusia.

Ini menimbulkan kebimbangan kerana sistem kereta api di India merangkumi 9,000 buah kereta api dan membawa kira-kira 23 juta penumpang setiap hari.

Pada 2016,127 orang terbunuh apabila 14 gerabak tergelincir di Uttar Pradesh dalam salah satu insiden kereta api terburuk di India.