Monday, 18 October 2021

updated 4:33 AM UTC, Oct 18, 2021

Pfizer dan BioNTech: Dapatkan kelulusan untuk vaksinasi kanak-kanak 5 hingga 11 tahun

  • Published in Berita Dunia

AMERIKA SYARIKAT, 21 September - Hasil ujian mendapati, Vaksin Pfizer dan BioNTech berupaya menghasilkan tindak balas imunisasi yang pantas serta selamat digunakan ke atas kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun.

Syarikat itu memaklumkan, vaksin mereka akan mendapatkan kelulusan penggunaannya terhadap golongan terbabit dalam tempoh terdekat.

Menurut kenyataan bersama Pfizer dan BioNTech, dos vaksin terbabit akan diberikan pada kadar lebih rendah berbanding individu berusia 12 tahun ke atas.

Berdasarkan hasil ujian itu, mereka akan menghantar data terbabit kepada Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat serta badan berwajib di seluruh dunia secepat mungkin.

Keputusan yang diperoleh itu adalah yang pertama bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah, manakala ujian bagi vaksin Moderna untuk kanak-kanak berusia enam hingga 11 tahun, masih di dalam kajian.

Biarpun kanak-kanak kurang berisiko sekiranya dijangkiti COVID-19, wujud kebimbangan dengan kehadiran varian Delta yang boleh menjurus kepada kes lebih serius.

Malah, pemberian vaksin kepada kanak-kanak dilihat sebagai kunci utama memastikan sekolah dibuka dan membantu menamatkan pandemik itu.