Friday, 24 September 2021

updated 1:06 PM UTC, Sep 24, 2021

Jepun bakal lanjut, perluas perintah darurat

  • Published in Berita Dunia

TOKYO, 31 Julai - Jepun bakal melanjutkan perintah darurat di Tokyo selain menguatkuasakan perintah itu di empat lagi wilayah berikutan lonjakan kes COVID-19.

Ini selepas ibu kota Jepun merekodkan angka harian tertinggi dengan jangkitan baharu di seluruh negara mencecah 10,000 untuk julung kalinya.

27 kes baharu berkaitan temasya Sukan Olimpik turut dilaporkan dengan penganjur menegaskannya tiada kaitan dengan peningkatan jangkitan di Jepun.

Perdana Menteri, Yoshihide Suga, berkata kerajaan sedang mengambil tindakan kecemasan dengan pantas.

Perintah darurat di Tokyo ketika ini dijadualkan tamat pada 22 Ogos, namun kerajaan bakal melanjutkannya hingga hujung bulan.

Perintah darurat juga akan dilanjutkan di selatan Okinawa, dan sekatan itu bakal diperluaskan ke tiga lagi wilayah sekitar ibu kota serta hab barat Osaka.

Menteri Kesihatan Jepun, Norihisa Tamura berkata, jangkitan COVID-19 terus meningkat di Tokyo dan Okinawa walaupun perintah darurat dikenakan, dengan kira-kira separuh daripada kes baharu dikesan melibatkan jangkitan varian Delta.